Rencah Hidup

Kuih Titisan Hujan viral, cuba jangan tak cuba

KUIH Titisan Hujan atau “Rain Drop Cake” pada awalnya viral di media sosial sekitar Disember tahun lepas.

Semenjak itu ia berjaya menarik perhatian peminat masakan sehingga masing-masing rancak berkongsi resipi membuat kuih Titisan Hujan menerusi laman sosial Facebook (FB).

Kuih Titisan Hujan versi Malaysia biasanya dimakan dengan air gula melaka dan serbuk kacang tanah.

Ada yang cuba membuat sendiri pencuci mulut ini yang terkenal dari Jepun yang dikenali sebagai “Mizu Shingen Mochi”.

Ia bagai titisan hujan kerana berbentuk bulat jernih di mana dalam versi Malaysia, ia dimakan bersama air gula merah dan serbuk kacang tanah.

Bagi yang bijak, mereka mengambil peluang ini untuk dijadikan sebagai kuih jualan yang terbaharu di pasaran.

Sekalipun permintaan terhadap kuih Titisan Hujan dikatakan mulai menurun tetapi ia masih ada penggemarnya.

Penulis juga mengambil peluang merasai sendiri keenakan kuih Titisan Hujan yang dijual di Kedai Dadih Marrisa yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang, Jalan Lama Kuala Perlis, Perlis.

Bukan saja rupanya elok dipandang tetapi agar-agar yang jernih ini yang dimakan bersama dengan air gula merah dan kacang tanah memang memberikan rasa enak yang luar biasa.

Cuma kata jurujual, permintaan terhadap kuih ini sudah tidak sehangat semasa tengah viral di sekitar dua bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, kedai ini memang sentiasa ada stok untuk peminat kuih Titisan Hujan atau yang mahu mencubanya.

Selain itu, tinjauan penulis juga mendapati kuih Titisan Hujan ini ada dijual di Karnival Jom Santai yang berlangsung di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar sehingga 13 Mac ini dan di kedai vendor makanan di sekitar Kangar.

Malah masih ada yang mengiklan di FB yang boleh dibeli secara COD.

Biasanya satu set kuih Titisan Hujan ini dijual dengan harga RM6 yang dirasakan agak mahal berbanding kuih tempatan lain tetapi bagi peminatnya keenakan lebih diutamakan. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button