POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih giat mengesan enam lagi suspek yang berada di luar negara untuk diekstradasi oleh kerajaan Malaysia berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015.
Berikutan itu Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pihaknya telah memohon “red notice” dari Interpol untuk membantu mengesan kesemua suspek ini.
“Pada 22 Jun lalu kerajaan Thailand telah mengektradasi empat lelaki dari negara berkenaan yang dikehendaki oleh kerajaan Malaysia bersabit kes kubur besar Wang Kelian,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Katanya, kes kubur Besar Wang Kelian telah menggemparkan negara pada tahun 2015 apabila PDRM berjaya menemukan 147 lubang kubur bersama 130 rangka manusia di kawasan Gua Wang Burma, sempadan Malaysia-Thailand.
Tambahnya, susulan dengan penemuan itu pada 2015, empat lelaki warga asing yang terdiri dari dua lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Thailand dan warga Bangladesh telah ditangkap.
Katanya, kesemua dituduh mengikut Seksyen 26A, Akta APTISOM2007 (Penyeludupan migran).
Bagaimanapun katanya, terdapat 11 lagi suspek yang masih bebas iaitu 10 warga Thailand dan seorang warga Bangladesh dan waran tangkap telah dikeluarkan ke atas mereka oleh Mahkamah Sesyen Kangar.
“PDRM juga memohon “red notice” dari Interpol untuk membantu mengesan dan menangkap mereka,” katanya.
Katanya, pada 5 April 2022, salah seorang suspek warga Thailand yang tersenarai dalam “red notice” Interpol telah berjaya dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar bersabit kes yang sama.
Dengan penyerahan empat suspek secara ekstradisi oleh kerajaan Thailand pada hari ini menjadikan jumlah terkini tangkapan yang tersendiri dalam “Red Notice” seramai lima orang. – SM
BACA Seludup manusia: Empat lelaki Thai dituduh di Mahkamah Sesyen