Kuasai teknologi terkini untuk pastikan daya saing di peringkat global – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemahiran teknikal seperti AI, data analitik, dan automasi perlu dikuasai untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia industri hari ini.
Baginda bertitah, teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) bukan sahaja merupakan satu keperluan dalam pelbagai bidang, tetapi juga menjadi pemangkin untuk memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan ‘AI Summer Camp University Tour 2024’ di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Program AI Summer Camp University Tour – Zon Utara 2024 yang berlangsung dari 2 hingga 7 Disember 2024 di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra ini dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
AI Summer Camp ini juga telah dijalankan di UKM bagi Zon Tengah dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi Zon Timur.
Program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan konsep asas Kecerdasan Buatan (AI) kepada para pelajar dari Perlis, selain menggalakkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melibatkan seramai 66 orang peserta dalam kalangan Institusi Pendidikan Zon utara sedang mengikut bengkel-bengkel yang meliputi ‘AI & Data Analytics’, ‘Chatbox Development’, ‘Machine Vision’, ‘Virtual Reality’ serta teknologi Robotik dan IoT.
Antara Institusi Pendidikan yang terlibat pada kali ini termasuklah UniMAP, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Perlis, UiTM Kampus Merbok, Kedah, UiTM Kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kangar , Kolej Vokasional Kangar , Kolej Vokasional Arau, Pra Universiti SMK Syed Alwi, Pra Universiti SMK Syed Sirajuddin dan Pra Universiti SMK Tengku Suleiman.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian yang berkonsepkan robotik mewakili UKM, UniSZA dan UniMAP sambil disaksikan para tetamu yang hadir.
Tuanku Raja Muda percaya program seperti AI Summer Camp ini mampu melahirkan bakat muda yang berinovasi dan berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di persada antarabangsa. Pendidikan teknologi yang kukuh akan membolehkan anak-anak muda Perlis, dan Malaysia secara umumnya, memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi digital global dan seterusnya dapat menyumbang semula kepada peningkatan tenaga kerja mahir di negeri Perlis pada masa hadapan.