Ku Li mahu Bersatu kembali bersama UMNO – Shabery
Gesaan Tengku Razaleigh Hamzah agar pemimpin UMNO meninggalkan Kabinet selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia mahu membuka keahlian kepada bukan Melayu, kerana beliau berhasrat agar Bersatu kembali ke dalam UMNO.
AHLI Majlis Tertinggi UMNO Ahmad Shabery Cheek berkata, berdasarkan pengalaman bersama Ku Li dalam Parti Semangat 46, dia yakin Ahli Parlimen Gua Musang itu mahu melihat kedua-dua parti itu kembali bersatu.
Bagi penyatuan semula UMNO dan parti serpihannya, Bersatu memerlukan keahlian kedua-dua parti terdiri daripada orang-orang Melayu dan bumiputera.
“Semangat 46 dan UMNO dulu mudah bersatu kembali kerana dasar keahliannya sama iaitu Melayu dan bumiputera.
“Dulu orang Semangat 46 pun menentang UMNO kerana tak setuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Tun M, Tun Daim dan lain-lainnya. Cerita pun hampir sama. Menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Konflik berlaku. Yang kuat menyahkan yang lemah. Maka tertubuhlah parti baru. Itu sejarah.
“Namun bagi yang berjiwa besar, mereka tetap mahu Melayu bersatu. Waktu panas semuanya tak kena. Bila sejuk berundinglah balik,” kata Ahmad Shabery
Menurut Shabery ramai yang masih mengharapkan UMNO dan Bersatu juga kembali jadi sebuah parti yang besar tanpa mengira siapa yang akan memimpin.
Shabery mendakwa, ramai kalangan pemimpin UMNO secara terbuka meminta Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kembali kepada UMNO dan memimpin parti itu sebagai perdana menteri.
Katanya, penyatuan UMNO dan Bersatu akan menjadi sukar sekiranya parti pimpinan Muhyiddin itu membuka keahlian kepada bukan Melayu dan bumiputera.
“PKR tak mungkin bercantum dengan UMNO kerana keahlian berbeza. Bersatu juga tak mungkin dapat bercantum dengan UMNO kalau sudah guna model PKR.
“Sebaliknya Bersatu mudah bercantum dengan PKR kalau corak keahliannya sama. Mungkin inilah hasrat (Datuk Seri) Azmin dan kawan-kawannya apabila menyertai Bersatu. Rindu PKR,” jelas Shabery.
Tengku Razaleigh sebelum ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan, apabila meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing.
Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.
Tengku Razaleigh berkata, pengumuman Bersatu dengan sendirinya menghilangkan kelayakan parti itu sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.-SM