fbpx
Politik

PRK Slim: Aura Tun M tidak kuat, tumpang PH sahaja

“AURA Tun Dr. Mahathair tidak kuat dan hanya menumpang Pakatan Harapan”.

Itu kata Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sarawak Abdul Aziz Isa mengenai kekalahan calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim semalam.

Menurut Abdul Aziz, Pejuang tidak seharusnya memberi asalan bahawa kekalahan calon parti itu semalam disebabkan tidak mempunyai logo.

Pembantu Khas Ahli Parlimen DAP Chong Chieng Jen itu berkata, jika aura Dr. Mahathir kuat rakyat akan tetap mengundi calon yang ditampilkannya walau apapun logo yang digunakan.

“Rafizi Ramli dah beritahu awal. Kalau betul kemenangan PH disebabkan oleh Tun Mahathir, mengapa keputusan sebaliknya di PRK Slim? Jangan bagi alasan logo belum siap.


“Kalau ada logo sekalipun, jika aura Tun Mahathir kuat, guna lambang apa sekalipun, rakyat akan undi. Masalahnya, aura Tun Mahathir sendiri tidak kuat, beliau cuma menumpang PH sahaja,” kata Abdul Aziz.

Pada Pilihan Raya  Kecil Dewan Undangan Negeri Slim yang diadakan semalam, calon Pejuang mengunakan lambang Pokok kerana parti pimpinan Dr. Mahathir itu masih belum didaftarkan dan tidak mempunyai lambang rasmi.

Amir Khusyairi hanya mendapat 2,115 undi berbanding calon BN Mohd Zaidi Aziz yang meraih kemenangan 13,060 undi dengan majoriti 10,945 undi.

Pada 28 Mei 2018, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, populariti Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, isu kenaikan kos sara hidup serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebab utama PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 oleh Invoke Malaysia, yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.

Katanya, prestasi buruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir di Kedah, turut menjadi bukti Dr. Mahathir bukan faktor kejayaan PH.

Sebelum ini, beberapa pihak menyifatkan Dr Mahathir sebagai faktor dan kunci kemenangan PH pada PRU-14, berikutan berjaya menyatukan parti pembangkang, khususnya untuk bertanding di bawah satu logo buat pertama kali.

Kejayaan PH merampas kerusi luar bandar serta memenangi undi golongan berusia juga disandarkan kepada faktor Dr Mahathir, berikutan ia gagal dilakukan PKR dan DAP sebelum ini.-SM

 

 

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button