Hiburanpilihan

Kritik filem Gadis Jolobu ‘sampah’, Saraleana mahu saman Zhafvlog!

Bagi penggemar filem tempatan, saluran YouTube Zhafvlog akan menjadi salah satu rujukan marhaen sama ada filem yang ditayangkan di pawagam ‘best’ atau ‘sampah’.

Baik dari produksi kecil mahu pun besar atau sesiapa pun penerbit dan pengarahnya, boleh dikatakan hampir tiada filem tempatan yang gagal ditonton Zhafvlog.

Hasil tontonannya itu akan dikongsikan pada saluran YouTubenya dan walaupun selera setiap orang pada sesuatu filem itu adalah berbeza, suka atau tidak Zhafvlog adalah tempat testimoni.

Namun demikian, pengasas bersama Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi beranggapan, ulasan yang dibaut Zhafvlog menjatuhkan nilai karya dan pihak produksi Gadis Jolobu The Movie tidak akan berdiam diri.

Mereka bakal mengambil tindakan undang-undang dan keputusan itu diambil susulan tindakan Zhafvlog melabel filem berkenaan dengan perkataan yang menghina sehingga mengundang kecaman ramai.

Siapa Zhafvlog?

“Siapa YouTuber ini? Adakah dia mempunyai kelayakan mengkritik filem? Jika dia pengkritik berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh mempertimbangkan kritikan diberikan.

“Tapi lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan (pengarah) CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.

“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai tak lama lagi,” katanya.

Saraleana yang juga penerbit eksekutif Gadis Jolobu The Movie berkata dia sedar kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa saja membuat ulasan, sekali gus menjadi pengkritik filem.

Namun, katanya, cara YouTuber itu salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah semata-mata.

Tambahnya, penggunaan bahasa kurang adab bagi menarik perhatian juga bukanlah suatu cara yang baik.

Tak ada unsur lucah

Menurutnya, kritikan harus diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan peruntukan berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi.

“Saya mungkin penerbit baru, tapi saya tak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baru lain yang mungkin tiada sokongan seperti saya.

“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem mereka jadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ni layak mengkritik filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?” soalnya.

Terdahulu, seorang YouTuber terbabit melabelkan naskhah tersebut sebagai tidak bernilai sama sekali, selain cerita tiada plot, mempunyai lawak berunsur lucah serta ia kewajaran ia dihasilkan dalam bentuk muzikal.

YouTuber terbabit turut mencadangkan agar pengarah dan penerbit berhenti menghasilkan filem kerana ia suatu pembaziran.

Pada masa sama, Saraleana menafikan komen YouTuber terbabit yang didakwanya memaparkan adegan lucah.

Katanya, sekiranya benar dakwaan itu, sudah pasti Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak membenarkan filem berkenaan ditayangkan sejak 4 Ogos.

“Jika ada elemen lucah, seksi atau sebagainya, sudah tentu ia tak dilepaskan LPF. Sekarang ini ia ditayangkan, bermaksud tiada adegan sebegitu dalam filem ini,” jelasnya.

Mengenai dakwaan poster Gadis Jolobu The Movie meniru poster filem Hollywood, Neighbors 2: Sorority Rising, Saraleana berkata ia adalah kerja kreatif dan bukan ciplak.

“Jika meniru, sudah pasti timbul masalah hak cipta. Ada juga pengarah mengambil inspirasi dari filem lain, tapi bukannya meniru,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button