Politik

Krisis politik: Bekas Ketua Menteri PH mohon bertemu TYT Melaka

BEKAS Ketua Menteri Melaka Adly Zahari memohon untuk bertemu dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Ia berikutan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Adly berkata, pertemuan itu akan disertai oleh 11 ADUN Pakatan Harapan serta empat ADUN yang dikatakan telah menjadi ADUN Bebas.

“Memandangkan kita masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat, keutamaan Pakatan Harapan Negeri Melaka pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan itu, sebelas (11) ADUN Pakatan Harapan bersama empat (4) ADUN Bebas ini berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Adly berkata, kestabilan politik merupakan perkara penting yang menjadi asas utama dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan usaha ke arah pemulihan ekonomi negara.

Tanpa kestabilan politik adalah sukar untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, khususnya dalam era ke arah endemik Covid-19.

Empat ADUN kerajaan, sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Semua mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button