Nasionalpilihan

KPT bantu pelajar terkesan banjir

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengenal pasti bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjadi mangsa banjir di Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, bantuan yang akan disalurkan itu berdasarkan masalah yang dihadapi oleh pelajar terbabit yang terkesan akibat banjir.

Menurutnya, jika mereka menghadapi masalah penempatan, KPT akan mengambil langkah menempatkan mereka ke satu tempat yang cukup selesa sebelum banjir reda.

“Kebiasaannya KPT akan menyalurkan bantuan dan menggerakkan sukarelawan bagi membantu kalau berlaku bencana seperti banjir.

“Kita akan melihat masalah apa yang dihadapi pelajar jika berkaitan penempatan mereka tidak selesa, kita akan tempatkan mereka ke lokasi lain yang lebih selesa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di sini hari ini.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor TS Dr. Massila Kamalrudin berkata, pihaknya bersedia untuk menghantar sukarelawan Tuah VT bagi membantu mangsa banjir yang semakin teruk melanda di
empat buah negeri.

Menurutnya, pasukan Tuah TV yang cukup mahir dalam pasca banjir terdiri daripada 300 pelajar dan 200 kakitangan.

“Kami sudah bersedia untuk digerakkan jika mendapat arahan daripada KPT untuk pergi dan kita akan pergi ke mana sahaja yang diarahkan,” ujarnya.

Beliau berkata, pasukan sukarelawan UTeM itu sebelum ini telah membantu mangsa banjir yang berlaku teruk di Kelantan, November tahun lalu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button