KPN perlu perjelas, beri mesej salah kepada masyarakat
Layanan istimewa diberikan kepada majikan yang membelasah pekerjanya kerana berpuasa, merupakan keputusan yang tidak betul dan memberi gambar yang salah.
Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata, beliau terpanggil untuk mengulas laporan media mengenai majikan yang memukul dua pengawal keselamatannya kerana berpuasa, yang tiba-tiba diberi layanan cukup istimewa oleh polis sehingga boleh tampil membuat ‘sidang media’ khas memohon maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong.
“Pada saya ini mesej yang salah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau membenarkan layanan istimewa diberikan kepada suspek ini, sementalah lagi namanya sendiri selaku Ketua Polis Negara ada disebut dan terkait dalam laporan polis oleh mangsa, yang telah pun tular di media sosial.
“Abdul Hamid tidak boleh membisu kerana ketika reman masih belum selesai dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk mengiringi suspek bertemu pihak media, sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah melengkapkan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan media.
Justeru, beliau menuntut Abdul Hamid sendiri perlu tampil memberi penjelasan dalam isu ini bagi membuktikan kesungguhan beliau dalam memerangi sebarang salah laku dalam pasukan polis.
“Ini kes jenayah. Perlu apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong? Apakah dengan penyataan maaf ini, maka kes jenayah kekerasan yang dilakukan akan ditutup dan suspek berkenaan akan bebas dan lepas begitu sahaja?
“Apakah emas 100 kg dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM28.54 juta berserta pistol yang dirampas bakal dipulangkan dan suspek akan kembali dengan bergaya menjalankan aktivitinya haram selepas ini?
“Jika itu mesej yang cuba disampaikan pihak polis, maka layanan serupa juga perlu diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana sehingga kini barangan rampasan milik bekas Perdana Menteri tersebut terkait siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dikembalikan oleh polis.
“Kepada Abdul Hamid, saya menegaskan bahawa apa yang rakyat dan umat Islam hendak tengok dalam kes ini ialah suspek segera didakwa, umat Islam tidak dahagakan permohonan maaf dari suspek yang bangsat ini.”