KPN beri amaran pegawai, anggota polis dedah info di media sosial
Kesalahan boleh disiasat bawah Akta Rahsia Rasmi 1972
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis agar tidak mendedahkan atau berkongsi laporan siasatan pasukan keselamatan itu kepada umum atau di media sosial.
Mereka yang didapati melakukan perbuatan itu boleh disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Abdul Hamid juga berkata, tindakan mendedahkan laporan polis merupakan satu kesalahan kerana maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan terhad.
Katanya, banyak laporan polis yang melibatkan pelbagai kes dikongsi di media sosial sehingga menjadi tular.
“Sekiranya saya dapat tahu siapakah pegawai atau anggota polis yang berbuat demikian, saya akan terus ambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya dengan tegas.
Abdul Hamid memberi contoh kes yang dibocorkan maklumat di media sosial.
“Jika mangsa membuat laporan polis melibatkan jenayah seksual dan mangsa terlibat menceritakan apa terjadi kepada anggota ditugaskan menulis laporan itu mendedahkan melalui WhatsApp sehingga sampai ke pengetahuan pihak media, ia tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Abdul Hamid berkata, tindakan mendedahkan maklumat mangsa atau pengadu boleh memalukan individu berkenaan sedangkan laporan polis diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada umum.
Menurut beliau lagi, jika mana-mana pegawai dan anggota didapati melakukan perbuatan sedemikian, mereka boleh dikenakan tindakan tataterbib termasuk digantung tugas.
Laporan polis hanya boleh dikongsi oleh pegawai polis yang dipertanggungjawab sahaja untuk rujukan kes tertentu dan anggota yang tidak terlibat adalah dilarang berbuat demikian, katanya.
“Namun, terdapat satu laporan polis yang menjadi tular di media sosial. Dan apabila saya semak dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Huzir Mohamed), saya tanya beliau kes ini di mana dan bagaimana boleh tersebar?
“Beliau (Datuk Huzir) berkata, mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis di media sosial. Bagi saya perbuatan mangsa membuka aib dan memalukan diri sendiri tidak sepatutnya dilakukannya,” katanya.
Abdul Hamid berkata, walaupun mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis kepada umum, ia tetap menjadi satu kesalahan. – SM