KPM sambut baik saranan KKM laksana ujian Covid murid sekolah rendah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk sidang media oleh YB Menteri Kesihatan bertarikh 26 November 2021 berkaitan saringan bergilir COVID-19 bagi murid sekolah rendah.
KPM menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh KKM.
KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ke sekolah rendah KPM bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan seperti mana tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.
KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM.KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.