Nasional
KPM komited tingkatkan kualiti, kesaksamaan, akses pendidikan untuk semua murid – Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk meningkatkan kualiti, kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan bagi semua murid, kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Memetik laporan BERNAMA beliau berkata tiada siapa akan dipinggirkan dalam arus pendidikan di negara ini selari dengan hasrat membangun Malaysia MADANI.
“Pendidikan berkualiti adalah milik semua tanpa mengira batasan kaum, agama atau politik,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pendidikan Negeri (MJEPN) KPM Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipetik KPM dalam kenyataan semalam.
Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata ia merupakan platform untuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di negeri-negeri mendapat maklumat berkaitan perkembangan pendidikan khususnya melibatkan dasar pendidikan negara terkini.
Katanya ia juga memberi peluang kepada Exco berkenaan mengetengahkan perkara-perkara berkaitan pendidikan di negeri masing-masing secara spesifik.
Menurut Fadhlina, MJEPN itu juga merupakan usaha untuk menjadikan komunikasi antara KPM dengan pihak berkepentingan termasuk Exco Pendidikan negeri-negeri seluruh negara menjadi lebih cekap dan telus. – SM