
Nasional
KPLB Perkenal Program TVET Junior untuk tarik minat pelajar bidang kemahiran
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi GiatMARA memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Junior, secara berperingkat mulai tahun ini. Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, 5 ribu pelajar berusia 12 hingga 16 tahun disasar mengikuti kursus asas jangka pendek yang ditawarkan di 231 GiatMARA seluruh negara.
“Menerusi program TVET Junior, pelajar menjalani latihan atau kursus asas jangka pendek selama dua atau tiga hari pada hujung minggu atau cuti sekolah.
“Antara kursus yang ditawarkan adalah asas kemahiran seperti pendawaian elektrik, membaiki basikal, latihan masakan seperti membuat kek dan jahitan.” Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra dan Penyampaian Sijil TVET Junior@Padang Terap di GiatMARA Padang Terap, di sini, hari ini.
Setakat ini jelas Mahdzir, seramai 55 pelajar sudah menerima kursus latihan asas TVET di GiatMARA Padang Terap selama lima hari selepas ia dilancarkan pada 13 Mac lalu.
“Tujuannya adalah untuk beri pendedahan awal kepada mereka mengenai TVET, selain mereka boleh buat sendiri di rumah jika berlaku kerosakan mudah. Kita juga sediakan makan minum serta sijil dan selepas tamat kursus, pelajar boleh pilih sama ada mahu teruskan belajar kemahiran ke peringkat tertinggi atau belajar dalam akademik.”
