Nasionalpilihan

KPDN Melaka nafi ayam naik harga

Dakwaan harga ayam di Melaka naik sebanyak 70 sen adalah tidak berasas kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar.

Menurutnnya dalam satu kenyataan hari ini, hasil pemantauan Pegawai Pemantau Harga (PPH) agensi itu mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan harga ayam mengikut harga kawalan RM9.40 sekilogram (kg).

Norena Jaafar.

“Mengikut pemeriksaan penguatkuasa di seluruh negeri ini mendapati ada peniaga menjual pada harga RM7.99 sekilogram.

“Jadi ada laporan menyebut berlaku kenaikan harga ayam sebanyak 70 sen adalah tidak benar.

“Pergerakan harga pasaran ayam di negeri ini adalah terkawal dan mengikut ketetapan yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Norena berkata, terdapat peniaga mengenakan caj pemotongan antara 30 sen hingga RM1 bagi setiap kg ayam tetapi itu adalah atas pilihan pengguna sendiri.

Menurutnya, sebanyak 24,543 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang sejak semalam.

Jelasnya, pihaknya telah merekodkan sebanyak 1,008 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

“Kita tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna berkaitan kenaikan harga ayam seperti yang dilaporkan setakat ini,” katanya.

Sehubungan itu Norena meminta orang ramai mendapatkan maklumat daripada KPDN berkaitan sebarang kenaikan harga barangan termasuk ayam.

“Jangan sebarkan berita atau maklumat yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai,” ujarnya lagi.

Pengguna katanya, boleh membuat sebarang aduan dan salah laku berkaitan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasa (ECC) KPDN negeri di talian 06-2345869 atau WhatsApp 019-2794317 setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button