Berita

KPDN bakal ambil tindakan terhadap stesen minyak kerana jual RON95 pada warga asing

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak dipercayai menjual minyak RON95 kepada kenderaan bernombor asing susulan video berkaitan insiden itu tular di media sosial.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan pada jam 5.30 petang, Ahad.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 5.11 petang, Jumaat, pemeriksaan dan semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati sebuah kereta Honda warna hitam disyaki bernombor pendaftaran asing tengah membuat pengisian minyak RON95,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nurul Syarina berkata, pemilik kenderaan berkenaan membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM100 serta telah membuat pengisian petrol RON95 sebanyak RM45.

“Pemilik kenderaan tersebut telah masuk semula ke dalam stesen minyak dan mengambil baki wang dari juruwang yang bertugas ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, pembantu pam yang bertugas dan juruwang di kaunter bayaran dilihat tidak memberikan sebarang teguran atau amaran kepada pemilik kenderaan berkenaan.

“Sehubungan itu, stesen minyak berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing seperti peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Nurul Syarina berkata, pihaknya telah menyita resit bayaran, rakaman CCTV ketika kejadian dan dokumen-dokumen perniagaan bagi membantu siasatan kes.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku stesen minyak atau isu yang berkaitan supaya membuat aduan atau menyalurkan maklumat segera kepada pihak KPDN.

“Kami mohon agar perakam video itu tampil bagi membantu siasatan serta melengkapkan siasatan kes,” ujarnya.

Kredit – Sinar Harian

Artikle Berkaitan :>

Penyasaran subsidi RON95 tidak berbangkit – Anwar

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button