Koronavirus: AirAsia benar pelanggan tukar tarikh penerbangan destinasi China
AIRASIA membenarkan pelanggan yang telah menempah tiket penerbangan ke atau dari mana-mana destinasi di negara China menukar tarikh perjalanan tanpa sebarang kos tambahan, tertakluk kepada jumlah kesediaan tempat duduk.
AirAsia dalam kenyataan memaklumkan langkah itu diambil bagi membantu mengawal situasi wabak novel koronavirus Wuhan dan mematuhi arahan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
Ini berlaku susulan pembatalan sementara semua penerbangannya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China hingga 28 Jan ini.
Menurut kenyataan itu, pelanggan AirAsia yang ingin membuat perubahan pada rancangan perjalanan mereka ke atau dari Wuhan dan bandar-bandar lain di China boleh memilih sama ada (1) perubahan penerbangan satu kali ke tarikh perjalanan baharu pada laluan yang sama dalam 30 hari dari tarikh penerbangan asal; atau (2) mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kesetiaan AirAsia BIG mereka untuk perjalanan masa depan dengan AirAsia, atau (3) mendapatkan bayaran balik sepenuhnya kepada kaedah pembayaran asal untuk jumlah yang sama dengan tempahan mereka.
Bagi tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan, termasuk ejen pelancongan dalam talian, permintaan bayaran balik akan dibuat melalui ejen perjalanan masing-masing, katanya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti AirAsia di Twitter (@AAAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia), atau hubungi pasukan sokongan pelanggan mereka di support.airasia.com.
Sementara itu, AirAsia juga menasihatkan penumpangnya di Wuhan untuk mematuhi pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan serta menghubungi pegawai diplomatik atau kedutaan masing-masing di China untuk bantuan.
Pelanggan juga digalakkan supaya menyemak status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk kemas kini secara langsung, katanya. – BERNAMA