Konsep takdir dalam politik
Oleh Ruhane Ahmad
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya pemimpin Bumiputera, Melayu dan Muslim menginsafi dan menyakini peranan takdir dalam putaran hidup umat manusia, termasuk dalam perjuangan politik di Malaysia.
Percayakan kepada takdir, qada dan qadar Allah adalah sebahagian daripada Rukun Iman.
Ini kerana takdir, qada dan qadar berlaku berdasarkan pilihan, keputusan, ketentuan dan kehendak Allah yang Maha Berkuasa.
Lantas takdir, qada dan qadar adalah konsep ketuhanan yang mengatur, mencorak dan mewarnakan kehidupan manusia pada setiap detik, dalam suatu tempoh waktu yang khusus, di dunia yang fana.
Ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung BERSATU pada 28 November 2020, Muhyiddin yakin konsep takdir mampu mengukuhkan pertautan perjuangan politik Bumiputera, Melayu dan Islam di Malaysia pada setiap masa, dalam kerangka negara yang majmuk.
Takdir menyebabkan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Ia untuk menginsafkan BN, khususnya UMNO, terhadap gejala kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa yang didakwa berleluasa sebelum PRU14.
Ia juga untuk menginsafkan pemimpin BN dan seluruh rakyat jelata bahawa gejala di atas membahayakan kelangsungan agama, bangsa dan tanah air.
Takdir menyebabkan Pakatan Harapan (PH) tumbang dalam tempoh 22 bulan, pada 24 Februari 2020.
Ini adalah untuk menyedarkan pemimpin Malaysia bahawa pemerintahan yang
meminggirkan kepentingan Bumiputera, Melayu dan Muslim tidak boleh diteruskan.
Hakikatnya, Bumiputera, Melayu dan Muslim adalah penduduk terbesar di Malaysia.
Mereka adalah bangsa teras yang mencorakkan keselamatan nasional.
Dalam istilah kajian keselamatan, bangsa teras adalah penduduk terbesar dalam sesuatu lokasi geografi yang sama dan yang mewarisi warisan etnik serta ras yang serupa, sejak berkurun lamanya.
Bangsa teras mendefinisikan keselamatan nasional di sesebuah negara.
Jika bangsa teras terancam, keselamatan Malaysia juga terancam. Jika bangsa teras sejahtera, keselamatan Malaysia juga aman damai.
Takdir juga meruntuhkan PH untuk menginsafkan pemimpin Bumiputera, Melayu dan Islam bahawa jika mereka terus berpecah-belah, nasib mereka juga ibarat telur di hujung tanduk atau bagai layang-layang putus tali.
Takdir ini juga untuk menginsafkan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam di Malaysia bahawa mereka mesti peka kepada sensitiviti umat Bumiputera, Melayu dan Muslim selaku bangsa teras di Malaysia.
Ini bukan niat untuk menghidupkan semula konsep ketuanan Bumiputera, Melayu dan Muslim.
Ketuanan mereka di negara ini terkubur setelah Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj memerdekakan negara menerusi perkongsian kuasa dengan semua kaum pimpinan Perikatan yang bertukar menjadi BN di zaman Tun Abdul Razak Hussein.
Oleh itu, pemimpin bukan Melayu mesti insaf bahawa perkongsian kuasa dalam kerajaan Malaysia yang meminggirkn kepentingan Bumiputera, Melayu dan Muslim sebagai bangsa teras tidak akan lama memegang tampuk kuasa negara.
Maka, Muhyiddin menyarankan supaya kejatuhan BN dan keruntuhan PH tidak
diulangi dalam pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Beliau juga menyarankan semoga takdir yang menyebabkan pertautan politik BERSATU, UMNO dan PAS dalam PN wajar diperbaiki dan diperkukuhkan.
Hakikatnya demikian kerana pertautan BERSATU, UMNO, dan PAS dalam satu saf politik Malaysia ketika ini adalah atas kehendak takdir Allah.
Saranan Muhyiddin di atas adalah satu tindakan yang berani dan bersandarkan firman Allah demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang majmuk.
[Datuk Dr Ruhanie Ahmad adalah penganalisis keselamatan nasional dan mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2004]