Politik

Kongres Nasional, AMK, Wanita PKR 2024 ditangguh

Kongres Wanita, Kongres AMK, dan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024 yang dijadualkan pada 15 Disember ini di Johor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan sebagai menghormati penderitaan rakyat di kawasan yang dilanda banjir yang memburuk di hampir seluruh negeri di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, penangguhan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang bersidang pada 30 November.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memberi keutamaan kepada kebajikan anggota parti, sukarelawan, serta rakyat yang sedang berdepan musibah banjir.

“PKR komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan yang sedang dan akan terus digerakkan oleh parti,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, ujarnya, PKR akan mengadakan satu Kongres Khas meminda Perlembagaan Parti pada tarikh sama dengan kongres tahunan yang ditangguh tersebut.

“MPP telah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan diadakan pada 15 Disember 2024.

“Pelaksanaan Kongres Khas ini akan diadakan di Negeri Selangor, dan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru agar anggota PKR membantu mangsa banjir di mana sahaja mereka berada, sama ada bergabung dengan sukarelawan tempatan atau gerak kerja atas nama parti.

“PKR ingin menyeru semua pihak, termasuk anggota parti, untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

“Semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan kita sebagai sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat,” katanya.

Beliau mengingatkan anggota agar cakna mengenai perkembangan terkini parti, terutama mengenai tarikh Kongres Khas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button