Berita

Komitmen reformasi Kerajaan Madani perkasa proses pelantikan kehakiman

KUALA LUMPUR 9 April – Kerajaan MADANI mengambil maklum akan tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan ke atas kesahan Perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.

“Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang. Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, Kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).

“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, sementara Kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, Anwar menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan MADANI untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK, selaras dengan semangat pembaharuan institusi.

Ini, kata beliau, bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kajian semula ini, kata beliau, akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO), dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.

“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin.

“Justeru, Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini,” kata Perdana Menteri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button