Hiburan

Kolaborasi Todak Music-Warner Music demi penstriman lebih baik

JENAMA Warner Music pada suatu ketika dahulu amat gah sebagai syarikat rakaman bertaraf antarabangsa dan di Malaysia, Warner Music Malaysia (WEA) banyak melahirkan penyanyi tempatan dengan jualan album mencecah ratusan ribu unit.

Apabila industri hiburan Malaysia malap, banyak syarikat-syarikat rakaman yang besar namanya mengambil langkah bergabung atau merger dengan syarikat rakaman lain sekiranya tidak mahu berakhir dengan gulung tikar.

Selain itu, individu atau orang kuat dalam syarikat rakaman perlu mengorak langkah anjakan dengan berkolaborasi demi kelangsungan hayat syarikat.

Tidak hairanlah jika Warner Music bergabung dengan jenama Todak Music menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak baru-baru ini. Hubungan yang terjalin itu adalah bagi mengetengahkan format hibrid baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq berkata, kolaborasi bersama Warner Music Malaysia diharap dapat melahirkan produk yang terbaik bagi pasaran industri hiburan tempatan dan luar negara.

“Kerjasama di antara dua buah syarikat sebenarnya telah terjalin sejak tahun lalu. Kerjasama ini membabitkan promosi, produk dan juga kutipan royalti bagi artis I bawah naungan Todak Music,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan, kerjasama yang terjalin itu juga bakal menjadi penanda aras untuk melahirkan produk yang terbaik.

“Kami juga amat berbangga apabila menerima Anugerah Made For The World 2020 bagi kategori Music Publishing oleh Niaga Times baru-baru ini,” kata Ikmal berkongsi kebanggan yang dicapai oleh syarikatnya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy pula berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Todak Music.

“Pihak kami berharap dengan terjalinnya kerjasama yang baik ini dapatlah mengembalikan era kegemilangan industri muzik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh Warner Music dan Todak adalah sebahagian inisiatif untuk menyelamatkan industri muzik di Malaysia dan sekali gus memastikan ia terus berkembang pesat.

“Fokus kami antaranya untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang lengkap dengan kualiti dan pakej yang baik untuk diketengahkan ke persada muzik antarabangsa,” katanya.

Kerjasama yang dijalin ini juga dilihat sebagai paksi untuk mencungkil keupayaan individu agar lebih berdaya kreatif melalui penggunaan platform atas talian.

Justeru kata Darren, kejayaan kolaborasi yang dijalinkan dilihat sinonim dalam usaha pengedaran lagu ke semua platform penstriman.

“Kerjasama yang baik ini dijangka dapat membantu dalam mempromosikan lagu yang dikeluarkan dengan lebih efektif serta meluas,” katanya.

Untuk rekod, Todak Music ditubuhkan pada 2019 dan beroperasi sebagai sebuah syarikat rakaman, studio tarian, muzik dan pengurusan bakat.

Selain itu, Todak Music turut menyediakan perkhidmatan studio rakaman yang membekalkan kepelbagaian audio dan visual yang praktikal dan sesuai bagi pengguna tempatan dan antarabangsa.

Antara artis yang bernaung di bawah Todak Music ialah Shiha Zikir, Fadh Majid, Razak A’ai dan Dina Nas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button