Ekonomi

Kolaborasi PLUS, Paynet tingkatkan transaksi guna mydebit di R&R dua kali ganda

Transaksi tanpa tunai menggunakan kad ATM MyDebit di kawasan rehat dan rawat (R&R) PLUS telah meningkat kepada lebih dua kali ganda dalam tempoh hanya tiga bulan hasil kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Kejayaan ini merupakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk pertandingan bayar dan menang serta usaha promosi untuk menggalakkan rakan niaga di R&R PLUS mendaftar dan mengamalkan pembayaran tanpa tunai.

Pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kempen R&R MyDebit “Wave & Menang”, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama erat PLUS dan PayNet telah menyaksikan peningkatan mendadak transaksi tanpa tunai menerusi kad ATM MyDebit di R&R sepanjang Lebuhraya PLUS pada tempoh kempen ini berlangsung pada 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023 lalu.

“Kempen ini juga dilihat mampu menarik minat dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam membudayakan pembayaran tanpa tunai bagi menyokong aspirasi Kerajaan dalam mempromosikan transaksi secara digital di
dalam negara.

“Misi kami adalah menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari, ia berteraskan strategi terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara menyeluruh. Dengan purata lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya PLUS setiap hari, inisiatif ini memberi peluang kepada kami untuk menyokong kerajaan dalam mempromosikan kewangan digital dan memperkukuhkan penerimaan pembayaran secara digital di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, sebagai penyedia infrastruktur pembayaran digital negara, mandat mereka adalah untuk menerapkan budaya pembayaran tanpa tunai dengan menyediakan kemudahan dalam setiap aspek dan konteks aktiviti harian orang ramai. Ini termasuk menyediakan kemudahan sedemikian di sepanjang hentian rehat lebuh raya untuk kemudahan pengguna jalan raya.

“Ramai yang masih tidak sedar tentang masa yang dapat dijimatkan daripada terpaksa melakukan pengeluaran wang tunai di ATM. Sebaliknya, mereka boleh membuat pembayaran terus di kedai atau membuat pembelian dalam talian menggunakan kad ATM MyDebit mereka, tanpa dikenakan sebarang surcaj, walaupun untuk jumlah nilai yang kecil.

“Terdapat lebih 47 juta kad ATM MyDebit dalam edaran semasa yang dikeluarkan oleh 22 bank dalam negara,” jelas Farhan.

Katanya, matlamat mereka adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengguna lebuh raya supaya memanfaatkan kemudahan ini melalui pembayaran kad di R&R.

“Kami juga amat mengalu-alukan rakan niaga PLUS ke dalam ekosistem kami yang terdiri daripada lebih 300,000 peniaga MyDebit di seluruh negara. Oleh itu, kami amat berpuashati dengan sambutan yang diterima daripada kempen ini,” tambah Farhan.

Sementara itu Nik Airina menambah, ketika ini, lebih daripada 85 peratus  gerai yang beroperasi di R&R sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dilengkapi terminal pembayaran tanpa tunai yang menerima pembayaran kad MyDebit, kad kredit, Touch ’n Go eWallet, GrabPay, Boost, MAE, ShopeePay dan Setel.

:Ini mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama dengan rakan perniagaan kami ketika kami berusaha untuk memberikan pengalaman pelanggan yang positif melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih efisien di R&R kami.” katanya.

Kempen anjuran PLUS dan PayNet ini menyaksikan Sa’duddin Zainol berjaya membawa pulang sebuah motosikal Yamaha Ego Avantis bernilai lebih RM6,000 berserta 50,000 mata ganjaran PLUSMiles dengan hanya berbelanja sebanyak RM5 di R&R PLUS menggunakan kad ATM MyDebit beliau.

Sepanjang kempen ini berlangsung, pengguna lebuh raya berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah dengan hanya perlu berbelanja minimum RM5 menggunakan kad ATM MyDebit mereka di R&R PLUS.

Kempen ini turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM70,000. Selain hadiah utama, tiga pemenang Hadiah Pertama turut membawa pulang komputer riba Microsoft Surface berserta 30,000 mata ganjaran PLUSMiles setiap seorang, manakala lima pemenang Hadiah Kedua memenangi telefon bimbit Samsung Galaxy S22 berserta 20,000 mata ganjaran PLUSMiles setiap seorang.

Sementara itu, mata ganjaran Petron Miles bernilai RM800 diberikan kepada 40 pemenang hadiah saguhati dan 10 pemenang hadiah bulanan turut membawa pulang mata ganjaran Petron Miles bernilai RM200 setiap satu.

PLUS sedang giat melibatkan rakan niaganya untuk meningkatkan kesedaran dan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai dengan kerjasama Financial Education Network (FEN) daripada Bank Negara Malaysia.

Pengguna Lebuhraya PLUS juga digalakkan untuk memuat turun Aplikasi PLUS dan mendaftar sebagai ahli PLUSMiles untuk menerima mata ganjaran PLUSMiles semasa membuat pembayaran tanpa tunai di R&R PLUS.

Dengan setiap RM1 yang dibelanjakan, ahli PLUSMiles berpeluang untuk menikmati Satu Mata Ganjaran PLUSMiles. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button