Agama

Kolaborasi masjid berkembar Perlis-Pulau Pinang

ARAU 4 Okt. – Pengurusan Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, dekat Arau, Perlis telah menjalinkan kerjasama dengan Pengurusan Masjid Kampung Perlis, Pulau Pinang dalam usaha mengimarahkan masjid yang bertujuan untuk membawa manfaat dan kebaikan kepada ahli kariah serta masyarakat setempat kawasan tersebut khususnya umat Islam.

Kerjasama ini dijalankan melalui satu sesi Menandatangani Surat Niat Kolaborasi Masjid Berkembar di antara pihak masjid yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, Haji Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail dan Pengerusi Masjid Kampong Perlis, Haji Tarmizi Ahmad.

Antara kerjasama yang akan dijalankan termasuklah perlaksanaan bersama program melibatkan kolaborasi antara kedua masjid, melestarikan perkongsian dua hala dalam kecemerlangan amalan terbaik pengurusan masjid dan perlaksanaan perkongsian kedua masjid dalam penganjuran program dakwah, kemasyarakatan dan komuniti.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan berangkat bagi menyaksikan pemeteraian kerjasama di antara dua masjid yang melibatkan dua negeri.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Yang DiPertua MAIPs Dr Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda selepas itu turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Al-Mursyid Pauh Guring sempena program Hijrah Minda yang berlangsung di masjid tersebut.

Setiap mereka menerima bantuan wang tunai agihan zakat MAIPs sebanyak RM700 bagi menampung keperluan dan perbelanjaan seharian.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button