KKM nafi kenyataan dua pegawai kanan bertemu wakil industri tembakau
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan kebimbangan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia kononnya dua pegawai kanan KKM telah bertemu wakil industri tembakau.
Ia menjadi tular kerana tindakan tersebut didakwa telah melanggar Artikel 5.3 World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, artikel 5.3 WHO FCTC menetapkan agar Malaysia sebagai negara anggota perlu melaksanakan dasar kesihatan awam.
Ia berkenaan dengan kawalan tembakau serta melindungi dasar tersebut daripada kepentingan komersial dan kepentingan industri tembakau berlandaskan undang-undang negara
Artikel 5.3 WHO FCTC telah menetapkan satu garis panduan pelaksanaan di mana langkah-langkah kawalan mesti diwujudkan seperti berikut:
a) mengehadkan sebarang interaksi bersama industri tembakau
b) memastikan ketelusan interaksi yang berlaku
c) menolak perkongsian dan perjanjian bersama industri tembakau
d) mengelakkan konflik kepentingan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan.
“Sebagai anggota parti kepada WHO FCTC sejak 16 September 2005, KKM sentiasa memastikan sebarang interaksi bersama industri tembakau adalah mematuhi garis panduan Artikel 5.3.
“Selain daripada itu, polisi-polisi berkaitan yang juga dirujuk adalah seperti Polisi Pengurusan Percanggahan
Kepentingan, Polisi Antirasuah, Polisi Pengurusan Hadiah, Polisi Pengurusan Pengaruh Luar dan Surat Sokongan; dan Polisi Kod Etika dan Tatakelakuan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak KKM telah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan yang telah dibuat dan hasil awal siasatan mendapati, memang dua orang pegawai KKM telah dikunjungi oleh dua individu.
‘Dua individu terbabit memperkenalkan diri mereka sebagai pemilik syarikat basikal Putrajaya dan syarikat percetakan.
“Tujuan perjumpaan adalah untuk membincangkan cadangan untuk mengadakan program intervensi pengurangan berat badan, namun tiada sebarang persetujuan dibuat semasa perbincangan tersebut,” katanya.
KKM memandang serius dakwaan yang sedang tular tersebut kerana ia menggambarkan imej yang tidak baik khusus kepada KKM dan amnya kepada Kerajaan.
“KKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar garis panduan Artikel 5.3 dan polisi berkaitan.
“Pada masa yang sama, sebagai penjawat awam khususnya kakitangan KKM, tanggungjawab untuk memastikan sebarang perjumpaan bersama mana-mana syarikat swasta mahupun badan bukan kerajaan mestilah bebas daripada sebarang konflik yang boleh menjurus kepada kepentingan diri sendiri,” katanya. – SM