Nasional

Kita semakin menghampiri 90% dewasa lengkap divaksin – Muhyiddin

Malaysia semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sehingga semalam sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa telah menerima suntikan dos lengkap.

Jumlah itu menurut Muhyiddin lebih awal daripada jangkaan yang negara buat sebelum ini.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

“Berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh Kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini tidak ada negeri berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan majoriti negeri berada pada Fasa 2 dan 3 PPN.

Sementara dua wilayah iaitu Labuan dan Negeri Sembilan telahpun pulih dan berada dalam Fasa 4 PPN.

Bagaimanapun di sebalik berita gembira negara semakin pulih daripada Covid-19, Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus telah pun berada di dalam komuniti.

Tegas beliau, transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.

Rakyat, katanya perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.

Setiap daripada rakyat harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri.

Muhyiddin yakin Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.

“Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19. Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang.

“Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu. Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara.

“Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama,” kata Muhyiddin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button