Kita bersama-sama berjaya hadapi cabaran pandemik – Raja Muda Perlis
Sedar tidak sedar, sudah masuk tahun ketiga kita hidup dalam era Covid-19. Dalam tempoh itu, pelbagai perubahan dan keputusan terpaksa dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Namun, Alhamdulillah kita sebagai rakyat Malaysia umumnya dan Perlis secara khususnya berjaya juga mengharunginya walaupun diduga 1001 cabaran.
Tanpa kerjasama daripada seluruh rakyat, adalah amat mustahil untuk melaksanakan segala apa yang dirancang oleh pihak berkuasa dengan baik dan lancar. Tahniah diucapkan atas prestasi serta kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh semua.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Adzmi Safar 69 tahun di Repoh dekat Kangar baru-baru ini. Adzmi ialah salah seorang penerima sumbangan ‘Sara Hidup Berkala MAIPs’ dan juga telah dicadangkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid kariah berkenaan untuk dipertimbangkan bagi menerima Bantuan Baik Pulih Rumah daripada pihak MAIPs.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan setiap anggota masyarakat supaya mengambil peduli memahami mengenai fasa endemik dengan lebih jelas dan mengambil inisiatif bagi memastikan kesejahteraan hidup diri sendiri, keluarga tersayang serta kejiranan dan rakan-rakan di tempat kerja terus terpelihara dengan sebaik mungkin tanpa sekali-kali cuai dan leka. Ini kerana walaupun kini keadaan serta data statistik dilihat seperti agak terkawal namun virus ini masih wujud.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Tanpa komitmen serta kerjasama semua pihak, kita tidak akan berjaya mengharungi cabaran yang silih berganti, malah kita tidak akan mampu mengorak langkah ke hadapan. Bak kata pepatah Bahasa Inggeris, ‘When people cared about each other, they always found a way to make it work’.