Kit Siang akui PH lakukan kesilapan selama 22 bulan jadi kerajaan
PEMIMPIN vateran DAP, Lim Kit Siang mengakui Pakatan Harapan (PH) telah melakukan kesilapan selama 22 bulan menjadi kerajaan.
Sehubungan itu beliau mengingatkan para pemimpin pakatan itu supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut termasuk yang membabitkan kedudukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Katanya, jika mahu dapatkan kembali mandat yang diberikan rakyat pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu semua kesilapan itu tidak boleh diulangi.
“Kesilapan telah berlaku sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dan kita tidak boleh mengulangi semula kesilapan-kesilapan ini jika kita berjaya mengembalikan semula mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam catatan di blognya.
Pada PRU14 9 Mei 2018, PH yang terdiri daripada gabungan PKR, DAP, Bersatu dan Amanah telah berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.
Itu merupakan kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun dalam sejarah Malaysia merdeka, BN hilang kuasa sebagai kerajaan.
Bagaimanapun kerajaan PH itu hanya mampu bertahan selama 22 bulan apabila pada Mac tahun ini, Bersatu bertindak keluar daripada pakatan itu yang tercetus apabila Dr. Mahathir bertindak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri secara tiba-tiba.
Selepas itu Bersatu bertindak meninggalkan PH dan membentuk gabungan dengan BN dan Pas membentuk Pakatan Nasional lalu menubuhkan kerajaan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Sepanjang 22 bulan pemerintahan PH juga rakyat tidak berpuas hati dengan polisi-polisi yang dilaksanakan termasuk kegagalan PH menunaikan manifesto yang mereka canangkan pada kempen PRu14.
Oleh itu kata Kit Siang, kesilapan itu tidak boleh diulangi oleh PH.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga mengingatkan PH tidak boleh dibelenggu sejarah silam termasuk soal Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Jika tidak, keputusan bersejarah 9 Mei 2018 untuk membawa pertukaran kerajaan secara aman dan demokratik mungkin tidak akan berlaku.
“Selesainya persoalan mengenai calon Perdana Menteri dan perihal peralihan kuasa di antara Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh, satu sistem untuk mencapai persetujuan berkenaan lantikan utama dalam pakatan haruslah dipersetujui.
“Namun, kita harus bersifat realistik. Dengan semua faktor ini sekalipun, tidak ada jaminan yang kita akan berjaya untuk mengembalikan semula mandat rakyat ini,” katanya. – SM