Khalid Samad dan PH tidak perlu takut pada bayang-bayang
Khalid Samad tidak harus ‘takut pada bayang-bayang sendiri’ dan jangan masuk campur dalam agenda kami untuk memperkasakan semula kedudukan orang-orang melayu di tanahair yang tercinta ini.
Wadah perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan keseluruhan pemimpin-pemimpin melayu lain hanyalah untuk mengenal-pasti segala permasalahan orang-orang melayu seterusnya mencari solusi terbaik demi menjadikan bangsa melayu yang progresif, maju, berdaya saing, bersifat amanah, berdisiplin serta mampu berdikari dalam segenap bidang yang diceburi.
Kami adalah bangsa melayu yang baik dan senantiasa menghormati hak kaum-kaum lain di negara kita sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Jatidiri melayu kami mahu mengujudkan sebuah negara yang harmonis dan berkasih sayang di antara kaum-kaum tanpa kira bangsa mahupun agama.
Dalam masa yang sama dilema melayu mesti ditangani secara terbaik mungkin bagi mengujudkan satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak baik dalam mahupun luar negara.
Lihat saja sejarah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu keseluruhan kaum-kaum lain di negara kita berjaya mengecapi nikmat yang cukup besar di bidang ekonomi khususnya.
Kepimpinan melayu tidak pernah menzalimi mana-mana bangsa di Malaysia walaupun lebih 60 tahun menjadi tunggak pentadbiran negara.
Berpuluhan tahun parti PAS mentadbir Kelantan dan kaum-kaum lain di negeri itu tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai kezaliman kepimpinan Melayu.
Malahan, orang-orang cina, india serta suku-suku kaum lain memuji keadilan kepimpinan PAS di Kelantan.
Persoalannya kini, apa masalah dengan kepimpinan melayu dan apa yang ditakuti sangat oleh pemimpin-pemimpin melayu PH seperti Khalid Samad apabila kita sedang mengutuhkan penyatuan orang-orang melayu masakini.
Khalid Samad jangan ingat rakyat bodoh dan boleh terpengaruhi oleh kenyataan politiknya itu.
Moralnya, pemimpin-pemimpin melayu PH tidak perlu gusar dan takut dengan penyatuan melayu di bawah gerakan Proklamasi Orang Melayu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bersama tokoh-tokoh melayu yang lain.
Mantan Perdana Menteri dua kali ini bercakap mengenai bangsa melayu sudah hampir 80 tahun dan kepimpinan beliau harus dijadikan sebagai contoh kepimpinan melayu yang terbaik pada hakikatnya.
Perlembagaan persekutuan mengizinkan orang-orang melayu berbicara mengenai hak-hak kaum melayu.
Orang melayu berhak untuk berbicara dan menyelesaikan apa saja permasalahan orang-orang melayu di tanah melayu ini.
Tidak salah pun di sisi undang-undang serta sama sekali tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan asalkan tiada unsur-unsur provokasi terhadap mana-mana bangsa, agama dan institusi DiRaja.
Akhir kata, Khalid Samad berhak untuk memeluk DAP seerat mungkin kerana itu adalah hak mereka.
Tetapi dalam masa yang sama Sekretariat Proklamasi Orang Melayu juga berhak untuk memperbetulkan segala dilema bangsa melayu sepertimana hak-hak orang-orang melayu yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Kami hormati pendirian pemimpin-pemimpin melayu PH dan dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin melayu PH termasuk Perdana Menteri masakini juga harus menghormati prinsip perjuangan kami untuk keseluruhan orang-orang melayu.
Hanya orang bodoh dan cacat minda saja yang akan berkata bercakap mengenai nasib masa depan orang-orang melayu itu adalah berunsur perkauman.
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA.
Yang Ikhlas,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
4 Mei 2023