Khairuddin langgar kuarantin berulang kali, masih boleh didakwa
MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali masih boleh didakwa di mahkamah walaupun telah membayar kompaun RM1,000 kerana melanggar peraturan kuarantin kendiri.
Memetik laporan Malaysiakini Menteri itu sepatutnya menjalani kuarantin di rumah selepas kembali dari Turki pada 7 Julai.
Tetapi beliau telah melanggar kuarantin wajib itu dengan menyertai beberapa acara termasuk sidang parlimen pada 13 Julai.
Malaysiakini melaporkan, Peguam New Sin Yew, Samantha Chong, dan Haniff Khatri Abdullah berpendapat Khairuddin boleh didakwa untuk setiap kali dia melanggar kuarantin.
“Secara teknikal, setiap kali dia meninggalkan rumah (adalah suatu kesalahan),” kata New kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebelum ini mendedahkan, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah menghadiri sekurang-kurangnya 12 program dan acara sejak pulang dari Turki 7 Julai lalu.
Lokasi yang terlibat termasuk Parlimen (13, 14, dan 16 Julai), Jasin (15 Julai), Jabatan Perdana Menteri (18 Julai), Kuala Nerus (18 Julai), Setiu (18 Julai), Pantai Penarak, Terengganu ( 18 Julai), dan Pulau Duyong (10 Julai 19).
Haniff berkata, ada kemungkinan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin untuk menutup semua kesalahannya.
Tindakan itu tegas peguam tersebut adalah salah.
“Dalam kes Khairuddin, penting untuk mendedahkan kandungan kompaun untuk pemerhatian orang ramai.
“Sekiranya kompaun ini hanya untuk kesalahan tertentu iaitu berada di Dewan Rakyat pada 13 Julai, maka pihak berkuasa masih harus mendakwanya. Pelanggaran berulang kali seharusnya didakwa di mahkamah,” katanya.
Chong pula memberi contoh pemandu mabuk, dengan mengatakan di bawah undang-undang Malaysia, seseorang yang mabuk yang memandu dengan berbahaya selama dua minggu boleh dibicarakan di mahkamah untuk setiap pemanduan mabuk tanpa mengira sama ada kecederaan berlaku atau tidak.
Kata Chong, perkara sama juga diambil kira bagi kuarantin wajib.
“Menteri itu melanggar perintah kuarantin setiap kali menghadiri suatu majlis. Oleh itu, harus ada tuduhan dan hukuman yang berasingan untuk setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Sementara itu, dia juga berkata tidak jelas apakah ada kertas siasatan yang dibuka mengenai kes berkenaan dan mempersoalkan kenapa Khairuddin tidak dihadapkan ke mahkamah seperti Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini.
Noor Azmi disiasat kerana melanggar perintah kawalan pergerakan setelah dia menyiarkan beberapa gambar dalam talian yang menunjukkan dia dan rombongannya mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong, Perak pada 17 April.