Luar Negarapilihan

Ketua Polis Malang dipecat, 9 digantung tugas gara-gara insiden di Stadium Kanjuruhan

JAKARTA: Ketua Polis Malang, Indonesia dipecat manakala sembilan pegawai elit polis digantung tugas berkuat kuasa semalam, berhubung insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu lalu yang mengorbankan 125 nyawa serta mencederakan 323 mangsa.

Jurucakap Polis Negara, Dedy Prasetyo mengesahkan, Ketua Polis Malang, Ferli Hidayat dipecat semalam, manakala sembilan anggota polis elit yang digantung tugas berdepan hukuman sama jika didapati bersalah dalam perbicaraan tatatertib.

“Seramai 19 pegawai polis lain yang bertanggungjawab menembak gas pemedih mata itu juga sedang disiasat.

“Polis juga sedang menyoal siasat saksi dan menganalisis video daripada 32 kamera keselamatan di dalam dan luar stadium serta sembilan telefon bimbit milik mangsa sebagai sebahagian daripada siasatan yang akan turut mengenal pasti suspek,” katanya.

Presiden Joko Widodo mengarahkan liga bola sepak perdana digantung sehingga keselamatan dinilai semula dan tahap keselamatan diperketatkan.

Menteri Keselamatan Mohammad Mahfud berkata, beliau akan mengetuai siasatan bagi meneliti pelanggaran undang-undang dalam insiden itu dan memberikan cadangan kepada presiden untuk meningkatkan keselamatan bola sepak.

Selain itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menggesa Indonesia menyiasat penggunaan gas pemedih mata dan memastikan mereka yang didapati bertanggungjawab dibicarakan di mahkamah terbuka.

Walaupun FIFA tidak mempunyai kawalan ke atas permainan domestik, badan itu menasihatkan supaya tidak menggunakan gas pemedih mata di stadium bola sepak.

Persatuan bola sepak Indonesia juga melarang Kelab Arema FC daripada menganjurkan perlawanan bola sepak sepanjang musim ini.Presiden Arema FC, Gilang Widya Pramana melahirkan kedukaan serta memohon maaf kepada mangsa dan rakyat Indonesia.

“Saya bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi di stadium.

“Saya sedia menghulurkan bantuan, walaupun ia tidak akan dapat mengembalikan nyawa mangsa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Arema di Malang, semalam.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button