Nasional

Ketua Polis Johor nafi bersara susulan video tular

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M Kumar menafikan akan bersara seperti yang ditularkan menerusi video di media sosial.
Memetik BERNAMA, beliau berkata, penyebaran berita palsu itu sesuatu yang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam menyebarkan maklumat tidak benar mengikut penguatkuasaan undang-undang.
Kumar berkata, video tular di TikTok berkaitan persaraannya adalah tidak benar serta tidak berasas, kerana beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjaga.
“Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebarang maklumat rasmi berkaitan perubahan dalam kepimpinan Polis Diraja Malaysia hanya diumumkan melalui saluran rasmi agensi itu.
Terdahulu, tular video memaparkan Kumar menghadiri majlis bagi meraikan pesara dan bakal pesara di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah, di negeri Johor.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button