Jenayah

Ketua balai, anak buah ditahan ketika berparti liar dalam balai

Seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya ditahan ketika mengadakan parti liar dalam bilik khas di balai polis diketuainya, dalam daerah Kajang di sini, petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu empat wanita orang awam turut ditahan.

Ketika serbuan yang dilakukan pada pukul 6 petang itu sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Sebahagian lagi sedang berkaraoke di dalam bilik gelap yang dipasang lampu berputar seolah-olah berada disko.

OCS yang ditahan berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad mengesahkan kejadian terbabit, sambil berkata tangkapan dijalankan atas maklumat salah laku yang jelas.

“Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Tangkapan dijalankan oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar SOP.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Dalam kejadian tersebut, polis juga turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit tv.

Turut dirampas lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita.

Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button