Politik

Ketepikan politik, luluskan bajet demi rakyat

Oleh Ruhanie Ahmad

1. Kematangan demokrasi Malaysia di era darurat Covid-19 akan diuji esok apabila Dewan Rakyat mengundi untuk menyokong atau menolak Belanjawan 2021 yang sebilangan besarnya berkait dengan kehidupan rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut.

2. Ahli Parlimen (AP) pelbagai parti pasti akan menimbangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan ini menerusi berbagai perkiraan – politik, kuasa atau ego peribadi – bagi menangguk manfaat politik dalam suasana politik yang kelihatan keruh ketika ini.

3. Namun jangan lupa, rakyat Malaysia juga rata-ratanya akan memerhatikan gelagat AP mereka dalam membuat keputusan mengenai RUU Perbekalan ini.

4. Pemerhatian ini dijadikan asas untuk mereka menentukan undi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) bila tiba masanya kelak.

5. Lantas jangan salahkan rakyat jika mereka menolak AP yang mempolitikkan Belanjawan 2021. Mereka juga mungkin mencadangkan supaya AP terbabit tidak dicalonkan semula dalam PRU15.

6. Kemungkinannya demikian kerana Belanjawan 2021 adalah belanjawan di era darurat bagi membantu rakyat yang terkesan dengan isu keselamatan insan dan keselamatan nyawa akibat Perang Covid-19.

7. Oleh itu, rakyat perlu menginsafkan AP masing-masing supaya jangan bermain politik. Sebaliknya, AP mereka mesti didesak untuk pentingkan nyawa dan kehidupan rakyat serta kelangsungan tanah air di zaman perang tanpa peluru ini. -SM

(Datuk Dr Ruhanie Ahmad adalah mantan AP Parit Sulong, Johor (1990-2004) dan penganalisis keselamatan)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button