Nasional

Ketepikan perbezaan politik, ini soal kehidupan rakyat Malaysia – Anifah

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengajak seluruh rakyat Malaysia mengetepikan segala perbezaan politik untuk bekerjasama antara satu sama lain membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

Menyifatkan tempoh masa ini amat mencabar, tegas beliau, ia bukanlah mengenai politik, kaum atau agama, juga bukan tentang miskin atau kaya, tetapi isu utamanya mengenai kehidupan rakyat negara ini.

“Ada orang di luar sana yang telah kehilangan orang yang mereka sayangi dan ada yang berada dalam keadaan kritikal. Namun keluarga mereka tidak dapat melawat dan bersama mereka.

“Ia sangat kesepian untuk orang-orang itu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Jadi, tolonglah ketepikan politik dan apa jua perbezaan yang ada, marilah kita bekerjasama untuk membantu satu sama lain,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Dalam hal ini, kata Anifah, seseorang itu boleh memainkan peranan menyelamatkan nyawa termasuk yang mereka tahu dan sukai.

“Kita boleh sumbangkan dalam banyak cara, antara lain mendengar arahan kerajaan dengan tinggal di rumah, hanya apabila perlu kita keluar.

“Dermakan apa sahaja yang kita boleh…air, makanan, peralatan apa-apa serta wang yang membantu. Kematian tidak melihat bangsa, agama atau warna.

“Marilah kita membantu kerajaan kita dan dengan berbuat demikian, dengan ini kita juga membantu diri kita sendiri. Tuhan! restuilah kami semua. Terima kasih,” kata beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button