Nasional

Keselamatan menjadi satu tanggungjawab bersama

Topik khutbah khas ‘Tanggungjawab Bersama Mempertahankan Kedaulatan Negeri dan Negara Tercinta’ dibaca oleh khatib-khatib di seluruh negeri Perlis pada solat jumaat lepas.

Tajuk tersebut dipilih khas mengambil sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 disambut pada 1 Jun setiap tahun. Namun, untuk sambutan peringkat nasional tahun ini ianya diadakan di Perlis buat julung-julung kalinya sebagai tuan rumah ermula pada 28 sehingga 30 Jun 2024.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda bilangan yang ke-16 pada tahun ini yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Rejimen 504 Askar Wataniah dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Surau universiti berkenaan di Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam Kutbah beliau mengingatkan semua bahawa mempertahankan negara daripada serangan musuh bukan sahaja kewajipan kenegaraan, bahkan ia satu kewajipan dalam agama. Jika tanahair diserang atau dijajah oleh musuh maka dengan sendirinya agama akan terancam dan umat yang hidup dalam agama akan terkena penindasan dan penjajahan. Untuk itu, al-Quran dan al-Sunnah memerintah Muslim supaya sentiasa bersiap siaga mempertahankan benteng atau tanahair umat Islam dari dicerobohi musuh atau penjajah.

Al-Quran dan al-Sunnah juga menegaskan tanggungjawab ‘murabitin’ atau mereka yang sentiasa bersiap siaga menjadi perbatasan jihad.

Tambah Mohd Asri, Kita adalah pemegang amanah, menjaga kesucian agama, kehormatan bangsa serta kedaulatan negara ini. Oleh itu, adalah penting bagi setiap warga Rejimen Askar Wataniah dengan aset tentera darat yang sedia ada, sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk memenuhi keperluan pertahanan negara yang tercinta ini’.

Pada program tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan dari MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700 kepada 20 orang penerima terpilih dari kalangan keluarga asnaf yang merupakan Anggota Sukarela Askar Wataniah dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara yang terdiri daripada 14 orang lelaki dan 6 orang perempuan.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button