Negeri

Kesantunan berbahasa harus jadi budaya masyarakat Perlis – Raja Muda

‘Aspek kesantunan berbahasa harus diangkat dan ditonjolkan sebagai budaya dan adat masyarakat di negeri Perlis tercinta. Kesedaran di semua peringkat perlu diusahakan agar kesantunan berbahasa ini terus berakar, berkembang, subur dan merimbun di bumi bertuah ini’.

Penyesuaian kesantunan berbahasa dalam suasana kontemporari dan norma baharu yang dihadapi kini, perlu diterapkan, selaras dengan adat dan budaya kita yang bertunjangkan akhlak yang dianjurkan agama. Janganlah kiranya pandemik yang telah menjauhkan kita pada fizikal, akan menjauhkan pula kita di alam maya ekoran ekspresi negatif di media sosial. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi ia harus ditertib dan diluruskan dengan bahasa yang santun dan berbudi pekerti.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Sidang Ke-Dua bagi tahun 2021 yang diadakan secara digital hari ini.

 

‘Apa yang dimaksudkan dengan kesantunan berbahasa ini bukanlah membawa kepada makna ketinggian laras bahasa, atau pemilihan perkataan yang menarik dan mempersona, tetapi adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan beradab, berbudi tinggi serta sesuai dengan ajaran akhlak Islami’ tegas Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Baginda juga melihat, kesantunan berbahasa merupakan aspek penting dalam usaha untuk berkomunikasi dengan individu lain. Ini adalah kerana bahasa yang santun akan mewujudkan kesesuaian sosial, dalam menyesuaikan penggunaan perkataan berdasarkan suasana dan keadaan yang dialami.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda menerangkan bahawa ‘Bahasa merupakan medium komunikasi yang paling efektif untuk menyampaikan sesuatu maksud dan tujuan kepada orang lain. Dengan bahasa, sesuatu gagasan besar, atau pemikiran yang dicambah, dapat disebarluaskan, yang akhirnya dapat melahirkan perasaan, tindakan dan kepercayaan yang mendalam di kalangan manusia.

Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian yang tidak memberikan perhatian kepada elemen kesantunan dalam berbahasa. Sesuatu yang terpendam di dalam hati akhirnya diluahkan dalam keadaan yang tidak wajar, yang akhirnya membawa kepada pergeseran dan salah faham’ tegas baginda.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button