Nasionalpilihan

Kes Zayn Rayyan: Polis bertindak mengikut landasan undang-undang

SEGALA tindakan polis dalam melengkap siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah selari dengan peruntukan undang-undang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan ini termasuk penggunaan Seksyen 26(1) Akta Keterangan untuk merekodkan pengakuan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, di hadapan Majistret pada Rabu.
Katanya, sebarang bentuk pendedahan yang dibuat ketika siasatan perlu disahkan kebolehterimaannya di mahkamah.
“Jadi dalam konteks siasatan ini, sudah tentu ada kenyataan-kenyataan yang diambil. Justeru kita membuat keputusan sebarang pendedahan yang dibuat orang yang disyaki (OYDS) tersebut, ingin kita sahkan kebolehterimaannya di mahkamah kelak.
“Atas alasan itu kita menggunakan Seksyen 26(1) Akta Keterangan semalam (Rabu),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Khamis.
Beliau berkata, oleh itu tidak timbul persoalan mengenai media tidak dimaklumkan berhubung perkara itu kerana OYDS masih lagi dalam tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Justeru Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah (polis diberikan hak untuk menolak permohonan peguam untuk berjumpa anak guam) masih boleh digunakan.
“Kami hanya menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah bidang kuasa sebaik mungkin untuk menyiasat dan membawa kes ini kepada pendakwaan,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh enam bulan siasatan dijalankan sejak Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu, polis menggerakkan semua aset dan logistik untuk menyelesaikan kes berkenaan.
“Setiap butiran terperinci dari sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti dianggap penting dalam menyelesaikan kes pembunuhan Zayn ini.
“Secara spesifiknya satu ‘task force’ (pasukan khas) dibentuk bagi mengumpul bukti sehinggalah siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh berdasarkan petunjuk dan bukti yang kita peroleh di lokasi kejadian dan bedah siasat,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button