Nasional

Kes tuntutan Sulu: Malaysia telah menang sepenuhnya – Azalina

MALAYSIA telah memperoleh kemenangan penting yang terakhir di Mahkamah Agung Belanda yang membuat keputusan berpihak kepada negara ini dan menolak rayuan difailkan oleh kumpulan Sulu berhubung tuntutan tidak berasas mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berlata, keputusan Mahkamah Agung Belanda iaitu suatu yang muktamad dan sahih, menamatkan percubaan pihak menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.
“Keputusan Mahkamah Agung ini mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Hague pada 27 Jun 2023, yang mengekalkan cabaran Malaysia terhadap permohonan pihak menuntut di Belanda untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir yang dibuat oleh Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Feb 2022,” kata beliau melalui kenyataan di X.
Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir timbang tara yang dikatakan berjumlah US14.9 bilion (RM62.59 bilion), yang akan dikuatkuasakan di Belanda.
Sebelum ini, lapan warga Filipina memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.
Stampa pada 28 Feb 2022 telah membuat keputusan untuk memihak kepada mereka dan Award Akhir sebanyak US$14.9 bilion hasil daripada timbang tara palsu telah dikeluarkan secara haram oleh Stampa kepada lapan penuntut itu, walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.
Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah akhir US$14.9 bilion, kumpulan Sulu itu dilaporkan telah cuba merampas aset Petronas milik Malaysia di Luxembourg, aset di Belanda dan menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya).
Sementara itu, pada 17 Mei tahun ini Malaysia dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Madrid yang menolak rayuan Stampa dan mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara.
Kerajaan Perpaduan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara agresifnya menentang dakwaan lapan individu itu.
Malaysia telah memperoleh kemenangan muktamad dalam pertikaian yang telah berlarutan sejak sekian lama, hasil keputusan yang berpihak kepada negara oleh Mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan juga di Mahkamah Sepanyol.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button