UPSI kerjasama tiga organisasi perkasa bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan (MoA) bersama Durioo Sdn. Bhd., Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) kelmarin untuk bekerjasama bagi memperkukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama bersama dalam bidang meningkatkan bidang asuhan, didikan dan perkembangan awal kanak-kanak di antara kedua-dua belah pihak bagi berkongsi kepakaran dan pengetahuan bidang masing-masing.
Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama ini adalah perkongsian kepakaran terhadap pelbagai usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak demi pembangunan modal insan negara pada masa akan datang.
“Terima kasih diucapkan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Johor yang memberi kepercayaan sekali lagi kepada UPSI untuk bekerjasama dalam membangunkan Garis Panduan Pengoperasian Jauhar ChildCare Centre (JCC) dengan dana sebanyak RM20,000.00,” katanya.
MoU yang ditandatangani di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah itu sekali lagi dapat memberi impak kepada UPSI dan YPKDT dalam membentuk modal insan dan kualiti pendidikan yang lebih cemerlang,” katanya.
Seterusnya UPSI turut berbesar hati dan berterima kasih kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar Perak yang sudi memeterai perjanjian persefahaman dengan pihak UPSI pada hari ini.
Beliau berkata, UPSI sebagai Universiti yang sudah mencapai 100 tahun penubuhan merasakan kerjasama dengan pihak USAS melalui bidang penyelidikan, penerbitan, perundingan dan sebagainya dapat menerapkan konsep Rahmatan Lil ’Alamin (membawa rahmat ke seluruh alam), mengintegrasikan Ilmu, Iman, Amal dan Ihsan dan memperkasa serta mendukung pegangan ahli al-Sunnah Wa al-Jama’ah yang dapat memberi manfaat kepada lebih dari 9.19 juta kanak-kanak di Malaysia.
UPSI, katanya, juga rasa amat bertuah apabila syarikat animasi dan pemula teknologi Malaysia yang menyediakan kandungan hiburan berunsurkan Islam iaitu Durioo Sdn. Bhd. yang bersetuju memeterai MoU dengan pihak UPSI.
Tambah beliau lagi, UPSI melihat bidang kerjasama yang akan dimeterai adalah satu peluang yang baik bagi memperluaskan bidang asuhan dan didikan kanak-kanak kerana platform digital semakin menjadi pilihan ibu bapa dan pendidik pada masa kini untuk tujuan pendidikan kanak-kanak.
Beliau berkata, pihak UPSI amat mengkagumi misi syarikat Durioo Sdn. Bhd. menghasilkan siri animasi kanak-kanak berunsurkan Islam bagi pasaran dunia dan ini juga merupakan hasrat UPSI dalam kemenjadiaan kanak-kanak baik akademik, akhlak dan adabnya.
“Pada Februari 2023, UPSI melalui (NCDRC) menerbitkan 20 siri buku siri Dani dan Dina yang menekankan kepada nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian berdasarkan kepada Kurikulum Standard Prasekolah.
Md Amin berharap menerusi kerjasama itu siri Dani dan Dina atau penerbitan UPSI untuk kanak-kanak akan dapat dimuatkan dalam platform Durioo Sdn. Bhd. sepertimana 120 siri animasi pelbagai tajuk yang dilanggan lebih dari 4000 pelanggan.
“UPSI juga mengharapkan agar penerbitan permainan video yang menekankan konsep Islamik juga dapat dilaksanakan antara Durioo Sdn. Bhd. dan UPSI dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau juga berharap agar inisiatif dan sokongan padu yang diberikan oleh pihak YPKDT, USAS dan juga Durioo Sdn. Bhd. Dapat memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak demi pembangunan modal insan negara pada masa akan datang.
USAS diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf; YDPKT diwaili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Noor Faezah Md Esa manakala Durioo Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Operasi dan Pengalaman, Nurul Huda Zainal. -SM
BACA UPSI, Philippine Normal University bina kerjasama bidang pendidikan
Baca juga : Kerajaan rancang susun semula gaji guru Tabika Kemas
PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!