Nasional

Kerjasama Malaysia-Filipina dalam bidang pertanian meningkat

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce pada 17 Julai 2024 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Ini pertemuan kali pertama diadakan sejak Angela mula berkhidmat di Malaysia pada hujung November 2023.

Menerusi kunjungan hormat tersebut Angela memaklumkan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor pertanian Filipina di Rantau ASEAN, dan beliau telah diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Filipina untuk mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dengan Malaysia.

Data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Filipina sebanyak RM5.41 bilion berbanding nilai import dari Filipina ke Malaysia sebanyak RM1.28 bilion seterusnya menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara.

Kedua-dua pihak juga telah membincangkan cadangan meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertanian antara Malaysia dengan Republik Filipina dari aspek perdagangan pertanian serta kerjasama teknikal dalam sub-sektor tanaman, ternakan dan perikanan.

Di akhir pertemuan, Mohamad telah menjemput Angela ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September ini dan turut mempelawa penyertaan pihak  Republik Filipina dalam acara dwi-tahunan tersebut. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button