Kerajaan umum rebat elektrik, ICPT tidak lama lagi
KERAJAAN akan mengumumkan rebat elektrik dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tidak lama lagi.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengumuman itu dibuat berikutan kerajaan memahami masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat.
“Saya ditanya pelbagai pihak. Kerajaan memahaminya. Oleh itu kepada semua rebat ICPT dan diskaun elektrik akan diumum sedikit masa lagi,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.
Kali terakir kerajaan mengumumkan rebat elaktrik dan ICPT adalah pada 23 Disember tahun lalu.
Dalam pengumuman itu pengguna domestik dan industri akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen/kWh bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun ini.
Dengan pemberian rebat itu, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik antara 3.6 peratus dan 9.2 peratus.
Manakala pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil antara 4.0 peratus dan 5.2 peratus.-SM