KERAJAAN hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.
Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.
“Selain merangsang pelancongan dan modal insan, pakej ini juga memberi fokus membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19,” katanya dalam ucapan beliau ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020 yang bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”.
Ini merupakan pakej rangsangan berkaitan krisis kesihatan global yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia pada masa itu membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani kesan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ke atas ekonomi.
— BERNAMA