Kerajaan sumbang RM1.5 juta untuk Tabung Pendidikan dan Baik Pulih KDH
KERAJAAN Malaysia mengambil insiatif dengan memberi sumbangan bernilai RM1.5 juta untuk Tabung Pendidikan dan Baik Pulih Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di Kajang.
Tambahan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KDH antara bukti perjuangan pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak dari dahulu lagi.
“Alhamdulillah saya dapat menunaikan solat Isyak dan tarawih dan seterusnya hadir dalam Majlis Iftar Amal serta Pelancaran Tabung Pendidikan dan Baik Pulih KDH di Sungai Ramal.
“KDH adalah salah satu kesinambungan perjuangan pendidikan aktivis ABIM yang lebih awal seperti Yayasan Anda Akademik, Institut Sofar dan beberapa institusi pendidikan swasta yang menawarkan pendidikan kepada anak muda,” katanya.
Dalam majlis itu KDH bukan hanya menerima sumbangan RM1.5 juta oleh para demawan malah Anwar sendiri turut memberikan sumbangan peribadi bernilai RM500,000.
Di samping itu dalam ucapan Perdana Menteri, Anwar juga menekankan kepentingan tradisi ilmu dan akliah berdasarkan keyakinan dan akidah.
“Kita juga yakin sebagaimana yang kita jadikan teras dan tunggak sejak dahulu bahawa menjalankan usaha dakwah secara bil hikmah harus lalui pengisian ilmu yang mendalam.
“Dasar ilmu perlu dikupas secara mendalam untuk bangunkan tamadun. Melalui kekuatan ilmu kita boleh mengurangkan kesenjangan antara gagasan dan penghayatan amalan,” katanya.