Nasional

Kerajaan PN perlu jelaskan agar Sultan Johor tidak murka, kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan secara umum kenapa tidak memberi maklum balas atau kelulusan bagi projek ini agar DYMM Sultan Johor tidak murka dan rakyat Johor tidak rasa dipinggirkan kerajaan pusat.

“Tiada sebab kenapa projek di Pengerang ini tidak diluluskan sekiranya projek ini menggunakan dana swasta dan dibina di atas tanah swasta atau kerajaan negeri,” kata Najib dalam hantaran ke Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu membuat gesaan itu selepas Sultan Ibrahim semalam membatalkan majlis pecah tanah untuk Taman Solar Sultan Ibrahim yang dijadualkan pada 23 Mac susulan tiada respons daripada kerajaan berhubung cadangan tersebut.

Sultan Johor mengumumkan projek bernilai RM1.4 bilion di Pengerang, Kota Tinggi, itu pada 1 Mac. Ia direncana menjadi yang terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti 450 megawatt.

Bagaimanapun, pihak berkepentingan dan penerima manfaat projek yang dicadangkan masih belum jelas.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah, majlis pecah tanah telah dibatalkan setelah Putrajaya gagal memberi respons terhadap projek itu.

“Saya nampak tidak ada alasan mengapa kerajaan persekutuan tidak boleh memberikan peluang kepada Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik yang mesra alam ini.

“Kita ada kawasan tanah yang sesuai, pembangunan yang pesat di negeri ini dan permintaan daripada negara jiran, menjadikan Johor sebagai lokasi yang paling strategik” titah baginda.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button