Politik

Kerajaan perlu dedahkan syarikat kartel daging halal palsu

KERAJAAN perlu bertindak berani mendedahkan nama-nama syarikat yang mengimport dan mengedar daging menggunakan logo halal palsu.

Ini kerana masalah berkenaan adalah serius melibatkan sensitiviti umat Islam dalam negara ini apatah lagi pendedahan dibuat pengedaran daging terbabit sudahpun berlaku sejak 40 tahun.

Malah, pendedahan tersebut juga memperlihatkan kelemahan jabatan dan penguatkuasa berkaitan mengesan kemasukan daging yang menggunakan cop halal palsu.

Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan melaksanakan enam cadangan untuk mengatasi masalah tersebut dengan segera.

Cadangan tersebut adalah, pertama mengisytiharkan dan mendedahkan nama-nama syarikat yang sedang disiasat dan disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram.

Kedua, mengambil tindakan semerta menarik semula bekalan daging yang telah memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu ini oleh syarikat terbabit melibatkan semua peruncit dan pengedar.

Ketiga, menubuhkan satu pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenalpasti dalang sindiket kartel yang bertanggungjawab.

Keempat, menilai kembali kapasiti kakitangan persijilan halal yang jelas tidak selari dengan bebanan dan keluasan cakupan tugas pengawasan sijil halal dalam Malaysia dan di luar negara.

Kelima, melakukan penambahan segera kakitangan pengawal seliaan Halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan di jabatan agama islam negeri-negeri.

Keenam, memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu.

“Kebimbangan dan keraguan orang ramai terhadap status Halal dan kebersihan daging import halal yang berada di pasaran dengan pelbagai berita-berita sensasi.

“Termasuklah campur aduk antara daging halal dan haram mesti ditangani segera oleh pihak Kerajaan.

“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, isu seperti ini bukan kali pertama malah berulang kali timbul hingga menyerlahkan kekangan dan kelemahan ketara dalam isu penguatkuasaan dan kawal selia industri halal di negara ini.

“Keenam-enam cadangan di atas wajar diambil tindakan segera oleh Kerajaan PN (Perikatan Nasional) bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan logo Halal Malaysia yang diiktiraf seantero dunia.

Kata ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu lambakan daging import dalam pasaran dipercayai menggunakan logo halal palsu.

Terdahulu, satu pendedahan dilakukan oleh media mengenai kewujudan kartel yang menjalankan aktiviti haram selama 40 tahun membabitkan penyeludupan daging murah dari negara-negara yang persijilan Halalnya tidak diiktiraf Jakim. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button