Parlimen

Kerajaan pastikan peralatan komunikasi tidak disalah guna pengganas

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Semua peralatan komunikasi seperti alat kelui dan walkie-talkie perlu diperakui dan mematuhi peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, bagi mengelakkan disalahguna oleh pengganasi.

Menteri Komunikiasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu susulan soalan dibangkitkan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai pengeksploitasian teknologi komunikasi bagi tujuan keganasan, seperti berlaku di Lubnan apabila alat kelui dan walkie-talkie diletupkan sehingga mengorbankan ramai warga awam.

Fahmi menegaskan pemerakuan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) lebih berfokus kepada aspek teknikal seperti keselamatan elektrik, penggunaan frekuensi radio dan kepatuhan kepada kod teknik dan standard yang berkaitan.

“Aspek keselamatan fizikal lain yang lebih meluas termasuk penyalahgunaan dan pengubahsuaian kelengkapan komunikasi untuk tujuan keganasan berada di luar skop kawalan MCMC dan melibatkan bidang kuasa agensi-agensi lain,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan melalui laman web Parlimen.

Mengulas mengenai langkah dan perancangan memastikan tiada pengeksploitasian terhadap peranti berkenaan, jelas Fahmi pemerakuan bertujuan memastikan kelengkapan komunikasi mematuhi kod teknik atau standard dikuatkuasakan MCMC.

Tambah beliau, ia meliputi aspek keselamatan elektrik, keserasian elektromagnetik, kesalingbolehkendalian dan penggunaan frekuensi radio.

“Setiap kelengkapan diperakui perlu memaparkan tanda atau label pemerakuan yang diluluskan oleh MCMC atau agensi pemerakuan yang berdaftar.

“Sebarang perubahan terhadap kelengkapan komunikasi boleh menyebabkan terbatalnya sebarang pemerakuan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata kelengkapan komunikasi terletak di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang melarang pengimportan kelengkapan komunikasi ke dalam negara, kecuali dengan suatu Sijil Pematuhan (COA).

Tegasnya ia bagi memastikan pematuhan kepada kod teknik atau standar yang ditetapkan oleh MCMC.

“Sehubungan itu, MCMC telah mendaftarkan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) sebagai agensi pemerakuan bagi menjalankan aktiviti pemerakuan kelengkapan komunikasi di Malaysia.

“Pihak SIRIM juga telah dilantik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi pengeluaran COA untuk kelengkapan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” jelas Fahmi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button