Nasional

Kerajaan mungkin benarkan mereka yang pulang ke kampung, balik KL

25 April boleh guna aps Gerak Malaysia

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan permintaan orang ramai yang berada lebih sebulan di kampung dan ingin pulang ke rumah masing-masing di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kemungkinan orang ramai boleh berbuat demikian mulai 25 April ini nanti.

Walau bagaimanapun, kata Ismail Sabri, mereka ini perlu melapor kepada polis jika berkeinginan pulang ke tempat kerja dan rumah masing-masing.

“Mereka mesti lapor pada polis melalui online dan menggunakan aplikasi atau Aps Gerak Malaysia. Aps ini ialah kolaborasi PDRM dan KKMM dan boleh gunakannya mulai 25 April nanti.

“Jadi, bolehlah mereka melaporkan diri dan memohon kepada pihak polis secara online. Bagi nama, berapa jumlah keluarga untuk pulang ke KL dan dari kampung mana.

“Kita perlu butiran terperinci atau detail termasuk dari kawasan merah, hijau dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar harian, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Bagi mereka yang tidak memiliki telefon untuk mendaftar secara online, Ismail Sabri berkata, mereka boleh melapor di balai-balai polis berdekatan termasuk balai-balai polis kecil dan beri butiran diri.

“Walau bagaimanapun, untuk mengelak kesesakan di balai-balai polis, orang ramai yang berkehendak untuk meninggalkan kampung dan balik ke KL atau rumah masing-masing, mereka perlu menelefon ke balai dan membuat temu janji supaya boleh atur pergerakan dan sebagainya,” tegasnya.

Ismail Sabri menambah, bagaimana pun, perkara ini (pergerakan dari kampung untuk pulang ke Kuala Lumpur pada 25 April ini) masih dalam kajian.

“Jika pergerakan bermula pun mungkin selepas 1 Mei nanti. Setakat ini, tidak ada jaminan lagi dan kita masih menunggu laporan bermula pada 25 April nanti.

“Barulah boleh merancang termasuk mengeluarkan SOP tertentu yang ketat dan sebagainya. Apa pun akan dikaji dahulu buruk dan baik dan kita perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Setakat hari ini, kita kaji dulu. Kita dengar rintihan rakyat yang berada terlalu lama di kampung dan ingin pulang ke rumah dan tempat kerja masing-masing,” tegas Ismail Sabri.

Kerajaan, kata Ismail Sabri, mendengar keluhan rakyat yang lebih sebulan balik kampung masing-masing sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac lalu.

Katanya, antara aduan dan rintihan rakyat yang berada di kampung selama lebih sebulan termasuklah tidak ada pakaian hendak dipakai.

Katanya lagi, kerajaan faham akan keresahan dan keinginan untuk pulang ke rumah mereka. Takut rumah dipecah masuk dan sebagainya.

“Setengahnya pulang bersendirian ke kampung sebelum ini dan anak-anak tinggal, dipisahkan.  Mereka tidak dapat bersama-sama selama lebih sebulan dan kita tahu, keinginan mereka untuk pulang begitu tinggi. Kerajaan tau.

“Tetapi ada bezanya apabila kerajaan membenarkan pelajar-pelajar IPTA dan IPTS pulang ke kampung masing-masing berbanding dengan keluhan mereka yang bukan tergolong dalam kalangan pelajar. Pelajar IPTA dan IPTS, kita tahu jumlah dan status kesihatan kerana mereka berada dalam kampus masing-masing dan sentiasa dipantau.

“Mereka yang pulang dan berada di kampung, mereka  ini berselerak. Kita tidak tahu berapakah jumlah sebenar mereka.

“Kalau kita benarkan, kita perlu tahu jumlah sebenar supaya kita boleh merancang untuk membawa mereka pulang. Pelajar bolehlah disediakan bas tetapi bukan yang pulang ke kampung,“katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button