Ekonomi

Kerajaan lulus RM10.537 juta bagi bantu pekebun kecil

KERAJAAN melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah meluluskan sejumlah RM10.537 juta setakat 6 Ogos, 2020, di bawah Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS).

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kelulusan di bawah skim yang diperkenalkan pada Julai tahun lepas dengan peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM550 juta itu melibatkan permohonan daripada 381 orang dengan keluasan tanah berjumlah 942.91 hektar.

”Bagi geran yang akan diberikan atau dibuka semula, ia masih di peringkat rundingan dan kementerian mencadangkan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), geran akan diberikan kepada para pekebun kecil yang memiliki kawasan kebun seluas 2.5 hektar dan ke bawah,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat,  hari ini.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata dana eksport dalam dana tambahan sebanyak RM8 juta pada tahun lepas adalah bertujuan untuk meningkatkan kadar eksport ke China.

Bagaimanapun, jumlah yang digunakan sehingga akhir tahun 2019 hanyalah sekitar RM1.2 juta, katanya.

Bagi dasar baharu komoditi, bagi tempoh 2021-2025, Mohamad Khairuddin berkata kementerian sedang dalam proses membengkelkan dasar baharu yang akan kemukakan kelak untuk dilaksanakan bagi tempoh tersebut. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button