Kerajaan lancar PIKAS vaksin pekerja sektor pembuatan kritikal
KERAJAAN akan melancarkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sebagai tahap empat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mempercepatkan imunisasi rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, PIKAS adalah program imunisasi perkongsian awam-swasta yang ditujukan kepada golongan pekerja sektor pembuatan kritikal yang bermula 16 Jun ini.
Selain MITI yang bertanggungjawab terhadap imunisasi pekerja sektor pembuatan beberapa kementerian lain juga akan bertanggungjawab untuk vaksinasi pekerja di sektor masing-masing.
Jelas beliau, penyertaan syarikat dan pekerja dalam PIKAS adalah secara sukarela.
“PIKAS dimulakan sebagai tindak balas terhadap seruan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu Kerajaan mempercepat imunisasi untuk rakyat.
“Kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS yang disokong oleh sektor swasta yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang,” katanya.
Azmin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah bersetuju untuk melancarkan PIKAS.
Pelaksanaan PIKAS akan bermula pada 16 Jun dengan vaksinasi di lokasi kilang dan perindustrian yang ditentukan.
PIKAS melibatkan vaksinisasi pekerjan syarikat dalam subsektor termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), produk minyak dan gas dan getah termasuk subsektor pembuatan sarung tangan perubatan.
Sektor-sektor tersebut penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting serta pembinaan, penyelenggaraan dan kelancaran infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan sistem penjagaan kesihatan awam.
Setakat ini MITI telah menerima permohonan dari kira-kira 500 syarikat dengan jumlah pekerja 106,591 untuk menyertai PIKAS.
Katanya, syarikat lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam PIKAS boleh mengemukakan permohonan melalui persatuan industri dan dewan perniagaan masing-masing.
“Keutamaan vaksinasi syarikat akan didasarkan pada beberapa pertimbangan termasuk lokasi syarikat di zon merah COVID-19.
“Syarikat dikenakan terma dan syarat yang merangkumi pekerja yang telah mendaftar dengan MySejahtera di bawah PICK,” kata Azmin.
Tegas beliau majikan tidak boleh memotong gaji pekerja untuk program vaksinasi PIKAS.-SM