Kerajaan laksana tempoh percubaan kod QR di KLIA
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan KLIA T1 dan KLIA T2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Beliau berkata antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa yang singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Kod QR juga katanya dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.
“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.
Pada Disember lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.
Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.