Nasional
Kerajaan kaji keberkesanan vaksin cegah varian baharu Covid-19 dan suntikan ketiga
Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes COVID-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin (booster).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata negara-negara maju sedang membuat perolehan vaksin untuk tahun hadapan kerana mereka menjangkakan kemungkinan terdapat keperluan untuk memberikan suntikan booster ketiga.
“Kami ingin mendapatkan data lebih baik mengenai berapa lama perlindungan vaksin ini bertahan dan apa butiran diperlukan dalam menawarkan vaksin dos ketiga. Ini untuk jangkaan tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kajian data diperlukan agar Malaysia dapat membuat keputusan sama ada perlu memulakan rundingan perolehan vaksin untuk tahun hadapan.
Mengambil contoh situasi terkini di United Kingdom, Khairy menjelaskan 90 peratus jangkitan baharu COVID-19 yang melanda negara itu adalah disebabkan varian Delta.
Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada Khamis lepas.
Sementara itu, Khairy berkata Malaysia akan kekal menggunakan kaedah vaksinasi homolog pada masa ini kerana kekurangan data ‘real-world’ dan klinikal mengenai vaksinasi heterologi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan negara akan terus menjalankan kajian sendiri mengenai vaksinasi heterologi kerana banyak negara di dunia mula melaksanakan kaedah menggunakan dua vaksin berlainan untuk menggalakkan keberkesanan terhadap varian berbeza.
Dilaporkan, Malaysia menimbang untuk mencampurkan dua jenis vaksin berbeza bagi meningkatkan keberkesanan terhadap varian COVID-19 yang berbeza.
— BERNAMA